myMetro 4 Nov 2013
Jakarta: Ahli Majlis Penasihat Presiden Indonesia Ryaas Rashid berkata, pemilihan Susilo Bambang Yudhoyono dalam pilihan raya umum negara itu pada 2004 banyak dipengaruhi kekacakan wajah ahli politik Parti Demokrat itu.
Menurut Ryaas, majoriti pengundi memilih Susilo kerana terpesona dengan wajah beliau.
“Ramai golongan wanita tergoda. Itu adalah hakikat,” katanya dalam majlis diskusi “Mencari Susuk Ideal Pemimpin Bangsa” di Jakarta semalam.
Tokoh politik kelahiran Pacitan di Jawa Timur itu menyertai pilihan raya presiden pada 2004 berpasangan dengan pemimpin Golkar, Jusuf Kalla. Gabungan Susilo - Jusuf mengalahkan semua calon lain, termasuk gandingan anak bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri dan regunya, Hasyim Muzadi.
Ryaas berkata, majoriti pengundi melihat aspek wajah pada Susilo tetapi hakikatnya, faktor ketampanan seseorang tidak mampu menyelesaikan masalah.
Katanya, pada pilihan raya umum 2004 dia melihat hanya ada dua tokoh utama bersaing merebut jawatan presiden, iaitu Megawati dan Susilo.
“Akhirnya Susilo mengungguli persaingan itu kerana dia digemari media,” katanya. Sebaliknya, kata Ryaas, Megawati mendapat sokongan kakitangan kerajaan tetapi kurang digemari media.
“Susilo menjadi presiden kerana media memilihnya,” katanya. Bagaimanapun, Ryaas berkata, untuk mencari pemimpin bangsa seseorang calon presiden mesti mengetahui permasalahan rakyat.
Ia, kata Ryaas, lebih kurang sama dengan mencari seorang pengarah sesebuah perindustrian.
“Mereka perlu tahu apa yang berlaku dalam sesuatu perusahaan itu, bagaimana menguruskannya, apa produknya dan bukan menyertai sektor itu untuk menikmati kemudahan yang ada,” katanya. - Agensi
Tidak ada komentar:
Posting Komentar