
KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berhasrat mengadakan perhimpunan secara besar-besaran di Dataran Merdeka di ibu negara bermula pukul 4 petang esok bagi membantah kekejaman tentera Mesir terhadap rakyat negara itu.
Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, perhimpunan itu antaranya menyelitkan acara pidato dan ucapan mengutuk kekejaman tentera Mesir serta solat hajat dan munajat bagi mendoakan pertolongan kepada umat Islam Mesir.
“Lokasi perhimpunan di Dataran Merdeka sebagai simbolik kepada Dataran Rabiah Adawiyah yang mengorbankan ramai rakyat Mesir.
“PAS yang hanya sebuah parti politik tidak memiliki keupayaan yang lebih selain mengadakan perhimpunan mengutuk kekejaman seperti ini serta berdoa,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Mohamad Suhaimi dalam pada itu meminta kerajaan Malaysia memainkan peranan yang lebih tegas untuk membantu rakyat Mesir daripada sekadar mengutuk kekejaman yang sedang berlaku di negara berkenaan.
Beliau mendakwa, Malaysia sebagai sebuah negara umat Islam wajar mendepani isu itu dengan mengangkatnya ke peringkat antarabangsa termasuk dengan mendesak negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya mengambil langkah keras terhadap kerajaan Mesir.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar